1.0 PENGENALAN
Usahawan
merupakan pemangkin dan penggerak bagi ekonomi sesebuah negara. Pada hari ini
dapat kita lihat begitu ramai usahawan yang berjaya dalam pelbagai bidang
perniagaan. Sudah pasti setiap kejayaan yang dilakar mempunyai ramuan kejayaan
yang tersendiri. Usahawan dikatakan mempunyai ciri-ciri serta latar belakang
keperibadian yang unik, hebat serta mempunyai kemampuan untuk melaksanakan
fungsi-fungsi keusahawanan dengan berkesan. Pengalaman serta pengetahuan yang
luas membolehkan usahawan melihat, menganalisis, dan merebut peluang-peluang
perniagaan yang terdapat dalam pasaran.
Usahawan perlu mempunyai ciri-ciri yang optimistik dan
dinamik terhadap peluang yang ada. Sehingga kini, terdapat pelbagai kajian yang
telah dilakukan oleh ahli ekonomi dan psikologi dalam memahami serta meneliti
ciri-ciri seseorang usahawan. Antara
kajian yang popular sehingga kini adalah kajian yang dilakukan oleh McClelland
(1961, 1965, 1985), Brockhaus (1982), Rotter (1966) dan Bird (1989). Menurut
McClelland (1985), antara ciri usahawan yang berjaya ialah inisiatif diri,
kecekalan, mencari maklumat dan perancangan yang sistematik. Namun demikian,
kajian yang dilaksanakan oleh Kao (1991) pula menyatakan bahawa ciri utama yang
perlu ada pada seseorang usahawan antaranya ialah komitmen, keazaman dan
ketabahan.
Antara usahawan
yang berjaya di Malaysia ialah seperti Datuk Yusuf Haslam, Datuk Wan Mohammad
Sani Salleh dan Tan Sri Mokhzani Mahathir. Kejayaan mereka sangat membantu
dalam peningkatan ekonomi negara apabila penglibatan beliau dalam perniagaan
adalah daripada pelbagai bidang. Rata-rata mereka bukanlah berasal daripada
keluarga yang senang, namun keazaman serta ketabahan yang tinggi telah
menjadikan mereka antara tokoh usahawan yang berjaya dan dikagumi di Malaysia.
Maka, dapat kita lihat di sini bahawa setiap lapisan masyarakat mampu
menceburkan diri dalam bidang keusahawanan ini.
2.1 Jaringan (Networked)
Jaringan (networked) merupakan semua hubungan yang dibentuk atau wujud
dan dikekalkan oleh seseorang usahawan dengan manusia di sekelilingnya untuk
faedah bersama. Usahawan yang saya pilih bagi ciri keusahawanan ini ialah Haji Ramly bin Mokni.Pada awal 70-an,
Haji Ramly hanya merupakan seorang pemotong daging di sebuah pasaraya di ibu
kota. Pada ketika itu, kebanyakan makanan sejuk beku tidak dapat dikenalpasti
status halal dan haramnya. Beliau telah mengambil perkara ini sebagai satu
peluang, kemudiannya mendapat idea untuk menghasilkan makanan sejuk beku yang
halal untuk memenuhi permintaan umat islam di negara ini. Beliau merupakan
seseorang yang berpandangan jauh, bijak merebut peluang dan tidak berputus asa
walaupun ideanya diperlekehkan oleh sesetengah pihak dan pihak bank turut tidak
yakin dengan kemampuan dan kekuatan produk beliau. Namun begitu, sokongan
daripada keluarga terutamanya isteri beliau yang sentiasa memberikan dorongan
kepada beliau untuk terus berjaya menjadi pembakar semangat kepada pemilik nama
Haji Ramly bin Mokni ini.
Di sini kita dapat lihat bahawa sokongan daripada keluarga adalah
penting bagi membolehkan kita melakukan sesuatu pekerjaan seterusnya membuatkan
kita berasa yakin bagi menjayakan pekerjaan kita. Bagi membolehkan beliau
mengorak langkah untuk memajukan perniagaannya, beliau telah menggunakan
simpanan sendiri dan juga mendapat pinjaman daripada Bank Pembangunan dan
Malaysia Berhad. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, Haji Ramly
telah dapat mengembangkan perniagaannya daripada hanya mengeluarkan daging
burger sebanyak 300 keping sehari kepada 30 tan sehari dengan berbekalkan
keyakinan yang tinggi setelah 20 tahun dalam dunia perniagaan. Jaringan
perniagaan juga penting bagi membolehkan kita mendapatkan bantuan kewangan
seperti yang dilakukan oleh Haji Ramly bin Mokni. Hal ini membolehkan kita
menjalankan serta mengembangkan perniagaan kita.
Daging burger ayam dan daging, rangkaian produk nuget,
jejari, sosej dan banyak lagi merupakan antara produk yang dikeluarkan di bawah
jenama Ramly. Walaupun beliau telah mengeluarkan pelbagai jenis produk, produk burger
Ramly masih kekal sebagai produk terlaris dengan menyumbangkan sebanyak 50
peratus kepada perniagaannya. Makmal Mikrobiologi Ramly telah ditubuhkan bagi
memastikan kualiti produknya sentiasa berada di tahap terbaik bagi memenuhi
citarasa pelanggannya. Penubuhan makmal ini bertujuan untuk memastikan
produknya adalah suci dan selamat dimakan oleh pelanggannya. Makmal
Mikrobiologi Ramly turut berfungsi sebagai satu tempat penyelidikan dan
pembangunan produk Ramly yang dilengkapi dengan peralatan berteknologi
tinggi.Haji Ramly kini telah berjaya mengembangkan perniagaannya ke tahap
komersial dengan hanya mengeluarkan produknya secara manual dan kecil-kecilan
pada mulanya. Syarikat induknya merupakan Ramly Mokni Holding Berhad dan Ramly
Food Processing Sdn.Bhd, Pemasaran Ramly Mokni Sdn.Bhd, Ramly Supermart Sdn.Bhd
dan Ramly Mokni Bakeri Sdn.Bhd merupakan anak-anak syarikatnya. Syarikat ini
telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan atas
kecemerlangan dan prestasi baik yang sentiasa ditunjukkan oleh mereka.
Akhir sekali, kejayaan yang dicapai oleh
Haji Ramly bin Mokni sudah pastinya mempunyai rahsia dan strategi yang menjadi
pegangan ahli perniagaan terkemuka ini. Beliau tidak pernah mengambil ringan
akan pandangan, rungutan dan ketidakpuasan hati para pelanggannya. Beliau akan
segera bertemu dengan pelanggannya bagi mengetahui masalah yang dihadapi untuk
memperbaiki mutu produknya. Haji Ramly bin Mokni juga menjalankan jaringan
dengan pelanggannya bagi membolehkan kelangsungan produk yang dikeluarkan.
Beliau cuba memperbaiki jaringan bersama pelanggannya bagi menghasilkan
hubungan yang baik dengan pelanggannya. Beliau dapat digambarkan sebagai
seorang yang tidak cepat melatah dengan hal yang remeh temeh malah dapat
menyelesaikannya dengan cekap dan efisyen melalui tindakan yang diambil oleh
beliau. Beliau dianugerahkan pingat kebesaran yang membawa yang membawa gelaran
Dato’ pada Disember 2009 daripada Sultan Selangor pada Hari Keputeraan Baginda
dan beberapa kali dinobatkan Anugerah Usahawan Terbaik melalui hasil kerja
keras beliau selama 30 tahun. Melalui apa yang telah dihadapi dan dijalani oleh
Haji Ramly, kita dapat mengetahui bahawa beliau telah mendapat sokongan atau
jaringan daripada keluarganya, pelanggan serta pihak bank bagi kepentingan
bersama.
2.2 Berani
mengambil risiko (Open risk taker)
Orang
yang berani mengambil risiko (open
risk taker) ialah orang yang berusaha untuk meningkatkan taraf hidup
mereka dan menerima apa jua keputusan daripada apa yang telah diambil. Tan Sri Lim Goh Tong merupakan salah seorang usahawan yang berani mengambil
risiko setelah mendapat peluang.Beliau merupakan pengasas kepada Genting Group
merangkap hartawan Malaysia. Beliau merupakan orang yang telah membuka pusat
pelancongan terbesar di negara Malaysia. Pada asalnya beliau merupakan orang
yang sangat miskin. Akan tetapi, beliau telah berusaha keras untuk mengubah
taraf hidupnya. Tan Sri Lim Goh Tong pernah mendedahkan beberapa tips yang
diamalkan oleh beliau sendiri sehingga berjaya menjadikan Genting Highlands
Resort sebagai pusat hiburan dan percutian terkemuka dunia.
Antara tips beliau ialah, merendah diri,
bersopan santun dan menghormati orang lain. Perasaan merendah diri, bersopan
santun, menghormati orang lain serta tidak bongkak dengan kemewahan dan
kekayaan yang dimiliki akan menjadikan seseorang itu lebih berwaspada dengan
apa yang dilakukan. Beliau menyatakan wang yang dikumpul sentiasa menjanjikan
pulangan modal untuk kegunaan masa depan. Beliau juga menyatakan ramai orang
yang suka mendampingi dan berkawan dengan kita jika kita suka mengamalkan sikap
merendah diri. Seterusnya, beliau mula bekerja dari bawah dengan hanya menjadi
tukang kayu sebelum membuka syarikat pembinaan Kien Huat dan bergelar
kontraktor kelas A. pelbagai pekerjaan telah dilakukan oleh Tan Sri Lim Goh
Tong sebelum menjadi jutawan. Beliau pernah dikatakan sebagai gila kerana ingin
membangunkan Gunung Ulu Kali yang mana sekarang telah dikenali sebagai Genting
Highlands.
Selain
itu, bekerja keras dan sedaya upaya melakukan pekerjaan. Seperti mana yang kita
ketahui, kaum Cina merupakan kaum yang sangat mahir dan mengetahui serba-serbi
mengenai bidang perniagaan. Orang Cina sentiasa bersikap positif dalam bidang
perniagaan kerana mereka percaya bahawa melalui perniagaan, mereka dapat
mengaut keuntungan yang tinggi. Kita tidak mempunyai pilihan untuk hidup senang
melainkan dengan berusaha dengan keras dan bersungguh-sungguh. Usahawan Cina
yang berjaya kebanyakannya bekerja selama 18 jam sehari menjadikan mereka hanya
mempunyai masa yang cukup terhad bagi merehatkan diri mereka seterusnya
menyebabkan mereka amat menghargai masa yang ada.
Akhir sekali, berani menanggung risiko. Jatuh
bangun seseorang itu adalah perkara biasa kerana seseorang itu tidak selalunya
berada diatas. Hal ini akan membuatkan seseorang itu berani mengambil risiko.
Begitu juga dengan Tan Sri Lim Goh Tong. Walaupun ramai yang mengatakan beliau
sebagai gila, namun hal ini tidak mematahkan hasratnya untuk membangunkan Gunung
Ulu Kali. Bahkan ada yang mengatakan idea beliau tidak akan kemana dan
pelaburannya tidak menjanjikan pulangan modal disebabkan tiada yang berminat
dengan perniagaan sedemikian. Akan tetapi, beliau telah membuktikan bahawa
beliau mampu membangunkan gunung tersebut menjadi tempat yang terkenal dan
pastinya jika beiau tidak berani mengambil risiko pastinya Genting Highlands
tidak akan wujud. Menerusi tips yang beliau kongsikan, kita dapat melihat
beliau sebagai seorang yang berani mengambil risiko tanpa mempedulikan
kata-kata orang lain.
2.3 Tajam daya pemerhatian (Observant)
Daya
pemerhatian merupakan salah satu ciri usahawan yang penting
untuk berjaya dalam perniagaan. Individu yang mempunyai daya pemerhatian yang
tajam dapat melihat peluang perniagaan yang berpotensi membawa ke arah
kejayaan. Mereka yang mempunyai ciri ini dapat memerhati perubahan yang berlaku
di sekeliling. Mereka dapat mengesan perubahan walaupun hanya perubahan yang
kecil dan sukar dikesan oleh orang lain. Dengan daya pemerhatian yang tajam,
mereka dapat berkembang dan sentiasa maju dari semasa ke semasa walaupun berlaku
perubahan persekitaran di sekeliling mereka.
Howard
Schultz adalah salah seorang usahawan yang berjaya di
Amerika Syarikat yang mempunyai ciri
pemerhatian yang tajam dalam menjalan perniagaan. Beliau merupakan pemilik
rangkaian kafe minuman kopi terkemuka di dunia iaitu Starbucks. Beliau
dikatakan mempunyai ciri daya pemerhatian yang tajam apabila beliau menciptakan konsep starbuck sebagai rumah
ketiga. Sebagaimana yang kita ketahui tempat tinggal merupakan tempat pertama
dan sekolah sebagai tempat kedua bagi para pelajar. Dan beliau telah mengambil
inisiatif menjadikan kafe beliau sebagai tempat ketiga bagi setiap orang untuk
dikunjungi. Beliau ingin menciptakan “pengalaman” unik bagi setiap pelanggan
yang mengunjungi kafenya dan sebagai salah satu tempat untuk bersantai di
Starbuck selain di rumah. Ia adalah salah satu konsep yang memberi impak
positif kepada Starbuck supaya pelanggan terus tertarik dengan Starbucks.
Hari ini Starbucks bukan sahaja tersohor dengan
kedai menjual kopi sahaja malah turut terkenal sebagai tempat pertemuan, tempat
berehat dan tempat untuk menjalankan perniagaan bersesuaian dengan suasana
dalaman yang disediakan selesa dan santai. Pada pandangan kasar, terdapat
beberapa faktor yang menjadikan kafe ini sebagai tumpuan masyarakat. Pertama,
ialah Starbucks menawarkan produk yang disukai pengunjung. Iaitu kopi yang yang
dihidangkan dengan chocolate, kekacang dan krim dgn pencuci mulut yang
disediakan bersama kopi telah berjaya memenuhi citarasa pelanggan. Kedua,
Starbucks mengamalkan konsistensi dalam penghasilan kopi mereka. Hal ini dapat
dilihat oleh pelanggan tetap ketika mereka berada luar negara dan mengunjungi
cawangan Starbucks di sana. Hasilnya kualiti kopi yang disediakan tetap
sama.
Akhir sekali, ini merupakan faktor terpenting dalam
menjadikan Starbucks lebih berjaya berbanding pesaing-pesaing yang lain. Iaitu
Howard Schultz telah menggunakan konsep “rumah ketiga”. Di mana selain
menyediakan kopi kafe ini turut menjadikan Starbucks sebagai satu tempat yang mana para pengunjung boleh membeli CD
dan merakam lagu-lagu kegemaran. Di
samping itu, turut manawarkan perkhidmatan WIFI kepada pengunjung. Hal ini
secara tidak langsung telah berjaya menarik minat generasi Y untuk duduk lebih lama di kafe Starbucks dan
seterusnya dapat meningkatkan hasil jualan kopi.
2.4 Berwawasan (Visionary)
Definisi berwawasan ialah seorang usahawan perlulah mempunyai wawasan yang jauh dan mewujudkan matlamat yang jelas dan boleh diukur pencapaiannya. Beliau harus peka kepada kemampuan sendiri dan mengenalpasti halangan dalaman dan luaran supaya halangan-halangan tersebut dapat diatasi. Antara usahawan yang memiliki ciri berwawasan ialah Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew atau lebih dikenali sebagai Boon Liew.
Sifat ini dapat
dilihat pada diri beliau apabila bermula tahun 1958 beliau pergi melawat Jepun
untuk makan angin. Bermula dari situlah beliau ternampak sebuah motosikal Honda
yang belum pernah digunakan di Malaysia dan beliau berfikir mungkin mendapat
pasaran yang baik jika dibawa balik ke Malaysia. Setelah mengenal pasti
siapakah pengeluarnya beliau mula membuat perjanjian untuk memesan 12 unit
motosikal terlebih dahulu. Motosikal ini mula dijual kepada rakan-rakannya
tanpa mengambil sebarang keuntungan bagi pihaknya. Pada awalnya motosikal Honda
yang ditungganinya ditertawakan oleh orang sekeliling yang menyangka ia tidak
berguna dan cepat rosak namun semua itu tidak mudah mematahkan semangatnya
untuk terus memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963 Motosikal
Honda kian mendapat tempat di hati masyarakat sekeliling.
Sebagai usahawan yang berjaya Boon Siew dilihat
sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk syarikat yang beliau
tubuhkan apabila beliau mula membawa masuk motosikal Honda ke Malaysia. Ini dapat
dilihat dengan terbinanya kilang motosikal yang pertama di Malaysia iaitu Boon
Siew Assembly Plant milik Boon Siew Sdn Bhd di kawasan perindustrian Mak
Mandin, Pulau Pinang. Dengan terbinanya kilang ini pada tahun 1969, motosikal
Honda tidak lagi dipasang di Jepun tetapi ia dipasang di Malaysia seterusnya
secara tidak langsung dapat menjimatkan kos pemasangan dan jualan.
Dengan terbinanya kilang ini, Boon Siew Sdn
Bhd juga telah memperkenalkan beberapa model terbaru motosikal Honda bermula
pada tahun 1971 iaitu model Honda S907. Pada hari ini terdapat pelbagai jenis
motosikal Honda yang berada di pasaran. Dengan sikap berwawasan tinggi inilah
yang telah memacu beliau untuk terus maju dalam bidang permotoran. Tidak semua
usahawan mempunyai kemampuan untuk melihat ke hadapan seperti beliau. Sikap
inilah yang menjadi senjata utama di dalam usaha beliau untuk terus bergerak
mahu di dalam industri permotoran Malaysia. Maka kita dapat simpulkan bahawa,
Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew merupakan salah seorang usahawan yang mempunyai
ciri berwawasan. Jadi wajarlah kepada masyarakat yang ingin menjadi usahawan
berjaya mencontohi ciri tersebut.
2.5 Kegagalan sebuah pilihan (Failure
is an option)
Menurut Alex S.Nitisemito dalam bukunya Seri Perusahaan Kecil (hal 29-30), sebab-sebab
kegagalan dalam sesebuah perniagaan ini ialah kurang peka dan cepat putus asa,
kurang inisiatif dan kurang kreatif, banyak hutang piutang, kekeliruan
menghitung harga asal, dan sering berlaku kemelesetan kewangan.
Kegagalan
adalah satu cubaan dalam mengharungi kehidupan terutama untuk mencapai
kejayaan. Kejayaan yang berkualiti adalah bermula daripada kegagalan. Oleh yang
demikian, setiap usahawan yang ingin berjaya perlu belajar daripada kesilapan
dan kegagalan.
Seorang usahawan terkenal iaitu Harsukhlal Maganlal Kamdar. Beliau
adalah Pengasas dan Pengarah Urusan Pasaraya Kamdar. Beliau juga merupakan
Presiden Persatuan Gujarati. Beliau adalah seorang remaja yang sangat
bercita-cita tinggi, bersemangat dan mengambil
kegagalan adalah satu pilihan dalam menjalankan perniagaan. Daripada usaha
beliau kita dapat melihat apabila beliau sanggup mengayuh basikalnya sehingga
20 batu ke 30 batu di kawasan Pulau Pinang untuk mengkaji bidang perniagaan
yang dianggap mempunyai potensi yang jelas untuk dibangunkan. Ia menunjukkan
tiada jalan pintas dalam hidup tetapi perlu berkorban apatah lagi mahu terlibat
dalam dunia perniagaan.
Harsukhlal Maganlal Kamdar merupakan seorang
yang mempunyai pandangan yang jauh. Hal ini dapat dilihat pada dirinya yang
menganggap bidang perniagaan berpotensi untuk berkembang di Pulau Pinang pada
satu masa nanti setelah beliau meninjau Pulau Pinang. Buktinya, akhirnya beliau
berjaya buka Kamdar di Pulau Pinang setelah mengharungi pelbagai rintangan.
Selepas itu, beliau meluaskan lagi perniagaannya dengan membuka gedung Kamdar
di Kuala Lumpur. Kedai itu dibuka pada tahun 1973 di No. 431-433, Jalan Tuanku
Abdul Rahman. Namun, empat tahun selepas dibuka, iaitu pada tahun 1977, kedai
itu ditutup dan lot rumah kedai yang kosong itu disewakan kepada orang lain.
Harsukhlal kemudiannya membuat keputusan pergi sendiri ke Kuala Lumpur pada
tahun 1977 dan cuba memperbaiki keadaan. Pada tahun 1980, dengan sikapnya yang
mempunyai pandangan jauh bahawa kamdar akan berjaya di Kuala Lumpur, akhirnya
beliau berjaya membuka kedai di Jalan Chow Kit, iaitu pasar raya 6 tingkat di
sebelah pasar raya Batu Road. Kemudian, sebuah lagi dibuka di sebelah Globe
Silk Store.
Perniagaan Kamdar terus berkembang pesat dan
beliau terus membuka cawangan kedai di bandar-bandar utama di seluruh
Semenanjung Malaysia. Dengan enam buah kedai di Kuala Lumpur, yang mana empat
adalah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kamdar kini mempunyai 18 buah kedai dengan
1,000 orang pekerja. Harsukhlal juga bercadang mengembangkan lagi perniagaannya
hingga ke Sabah dan Sarawak. Walaupun melalui banyak kemelesetan ekonomi,
Kamdar masih kekal sebagai pasar raya tempatan yang berdaya saing. Pada hari
ini, pasar raya Kamdar menawarkan pelbagai jenis tekstil dan fabrik pada harga
yang berpatutan. Kamdar memperoleh kainnya daripada sumber tempatan dan juga
melalui pejabat operasinya di luar negara seperti di India, Indonesia, Korea
dan Emiriyah Arab Bersatu.
Kesimpulannya, sebagai seorang usahawan kita
haruslah mempunyai pandangan yang jauh terhadap perniagaan kita dan jangan
pernah berputus asa dalam memajukan perniagaan. Kegagalan yang pernah dialami
haruslah dibuat sebagai pengajaran dan belajar dari kegagalan tersebut. Ciri
inilah yang membuatkan Harsukhlal Maganlal Kamdar berjaya dalam perniagaannya
dan membuatkan nama Kamdar popular sehingga sekarang.
2.6 Kebudayaan terbuka (Open culture)
Menurut Kamus
Dewan (2005), budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi atau cara berfikir,
berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya, budaya boleh didefinisikan sebagai suatu
cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial,
susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan
nilai.
Sudut ekonomi di Malaysia boleh dilihat berdasarkan
aktiviti yang dijalankan masyarakat Melayu di negara ini. Penguasaan ekonomi
dalam kalangan orang melayu keseluruhannya masih rendah dibandingkan dengan
penguasaan ekonomi oleh penduduk bukan melayu terutamanya orang cina. Tetapi
kini telah ramai orang telah berjaya dalam bidang perniagaan dan menjadi ahli
korporat.
Seorang usahawan iaitu Dato’ Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ialah pengasas Kumpulan
Rahman Brothers Sdn. Bhd. yang mengusahakan pelbagai perniagaan iaitu
automotif, pelancongan dan hospitaliti, hartanah dan pembangunan perniagaan, dan
perdagangan antarabangsa dan logistik. Setelah melalui pelbagai rintangan,
beliau meneruskan kejayaannya. Beliau seorang usahawan yang mempunyai sikap budaya terbuka kerana beliau melakukan
banyak perniagaan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan.
Dato’ Haji Abdul Rahman memulakan dengan perniagaan
automotif dan seterusnya ke perniagaan lain. Dalam perniagaan antarabangsa dan
logistik, Kumpulan rahman Brothers Sdn. Bhd. mencipta produk berasaskan makanan
jenama De’Rahman. Produk tersebut kurang dapat sambutan di Malaysia. Namun,
produk tersebut telah menembusi pasaran antarabangsa. Rangkaian produk tersebut
membabitkan sos cili, sos tiram, dan sardin tin yang dihasilkan telah menembusi
pasaran Arab Saudi dan China. Penerokaan produk De’Rahman ke luar negara itu
adalah hasil usaha sama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Produk tersebut
mendapat sambutan hangat kerana di negara luar seperti China, sukar untuk
mendapatkan makanan halal. Di negara China semakin ramai masyarakat beragama
Islam dan permintaan terhadap makanan halal semakin meningkat. Oleh yang
demikian, usaha Dato’ Haji Abdul Rahman telah memberi sumbangan kepada negara
tersebut kerana memudahkan mereka untuk mencari makanan halal. Selepas
mendapati produk De’Rahman memberangsangkan di luar negara, kini produk
tersebut dipasarkan di dalam negara. Syarikat sasar melantik 500 hingga 700
stokis di seluruh negara.
Konklusinya, Dato’ haji Abdul Rahman mempunyai sifat
budaya terbuka dengan pandangannya yang sangat luas tentang semua produk perniagaan
syarikat beliau. Beliau memenuhi beberapa kehendak masyarakat di luar atau di
dalam negara. Hal ini menunjukkan beliau seorang usahawan yang berjaya.
2.7 Orientasi hasil (Outcome oriented)
Berorientasikan hasil
bermaksud usahawan hanya memberi fokus kepada sesuatu proses untuk mencapai
matlamat yang ditetapkan oleh organisasinya. Usahawan yang mempunyai ciri
seperti berorientasikan hasil adalah Liliane
Bettencourt. Beliau lahir pada 21 Oktober 1922 di Paris,
Perancis. Beliau adalah anak pengasas dan pengerusi kepada produk kosmetik dan
kecantikan terkenal L’Oreal.
Pada usia 15 tahun
beliau mula bergabung dengan perusahaan ayahnya sebagai karyawan magang. Sejak
kematian bapanya beliau menjadi calon paling layak bagi menerajui empayar
perniagaan kecantikan bapanya bernilai puluhan billion. Liliane mewarisi
empayar perniagaan jenama kecantikan L’Oreal daripada bapanya hampir 78 tahun
lalu. Beliau telah memegang satu visi iaitu kecantikan adalah bahasa, kecantikan
adalah sesuatu yang universal, kecantikan adalah alam, kecantikan adalah
komitmen dan L’Oreal telah membuat projek kecantikan untuk tahun-tahun akan
datang. Kecantikan adalah bahasa bermaksud setiap individu boleh
mengekspirasikan kepribadian mereka dengan terbuka dan percaya diri. Kecantikan
adalah universal bermaksud L’Oreal menawarkan produk kecantikan terbaik, baik
dari segi mutu, khasiat dan keamanan untuk wanita di seluruh dunia. Kecantikan
adalah alam, dalam ha lini L’Oreal mengeksplorasi dan menciptakan produk baru
di masa depan. Lalu, kecantikan adalah komitmen, iaitu dimana L’oreal
menciptakan kekuatan inovatif untuk melestarikan keindahan yang mendukung
masyarakat.
Selain itu, bagi mencapai visi tersebut, perusahaan L’Oreal memiliki
fondasi dalam strategi perniagaan iaitu melihat pertumbuhan pasaran sebagai
sebuah potensi yang besar. Seperti yang dikemukakan dalam laporan tahunan
perusahaan L’Oreal bahawa pasaran kosmetik dunia bernilai sekitar 180 juta euro
dan selama lima belas tahun terakhir, pertumbuhan rata-rata pasaran kosmetik dunia diperkira sekitar
4.3%. Oleh sebab itu, dalam hal ini L’Oreal dapat melihat bahawa pasaran telah
mengalami pertumbuhan yang kuat, teratur dan juga teguh. Walaupun pada saat
puncak krisis berlaku pada tahun 2008-2009 pasaran kosmetik tetap terus maju.
Hal ini kerana oleh kebutuhan pasaran akan produk kecantikan sehingga L’Oreal
melihat bahawa pasaran kecantikan memiliki masa depan yang cerah.
Seterusnya, melakukan pembangunan secara internasional di
mana L’oreal saat ini memang telah hadir di 130 negara, namun tidak berhenti
sampai di situ, sesuai dengan visinya, L’Oreal ingin menarik 1 juta pengguna
pada 10 sampai 15 tahun akan datang. Kenyataannya hingga saat ini, selama 100
tahun sejak didirikan, L’Oreal telah berhasil menarik hampir satu juta pengguna
yang berarti mewakili sekitar 15% penduduk dunia.
Di samping itu, kejayaan dan aspirasi L’Oreal adalah mengisi
keperluan penggunanya. Sehubungan dengan itu, mempromosikan produk mereka
dengan lebih berpengaruh dengan menggunakan model dan selebriti ternama salah
satu cara untuk menarik perhatian pengguna untuk menggunakan produknya. Namun
mereka tetap membawa mesej tepat bahawa produk mereka dan kecantikan adalah
sesuatu yang menyeronokan serta menepati cita rasa pengguna. Tidak dapat
dinafikan lagi kejayaan peniagaan bergantung kepada asas iaitu strategi dan
pengurusan yang bijak,kerjasama yang erat antara pemilik dengan pihak
pengurusan dan juga para pekerja di
samping menumpukan sebaik mungkin kepada keperluan pengguna supaya kita dapat
mencapai matlamat yang diinginkan.
2.8 Orientasi Pasukan (Team oriented)
Team ialah sekumpulan orang dianjurkan untuk
bekerjasama. Sementara itu, berorientasi ditakrifkan seperti diarahkan dari
segi intelek, emosi atau fungsi. Menurut (Wikipedia, 2015) pasukan yang berorientasi ditakrifkan
sebagai melibatkan peranan setiap
Individu dalam mencapai matlamat dan penggunaan kemahiran sosial.
Aktiviti-akitiviti ini sering melibatkan tugasan yang individu perlu menyelesaikan secara
kolaboratif. Banyak latihan pembinaan pasukan dibuat bertujuan untuk memperlihatkan
dan menangani masalah interpersonal yang memberi kesan kepada fungsi pasukan.
Jika
syarikat dan orientasi pasukan (team
oriented) bersama maka kerjasama di kalangan pekerja tercapai. Dalam
erti kata lain, cara permainan berpasukan menetukan kejayaan. Jika kita
mempunyai sekumpulan pekerja yang hebat tetapi jika mereka tidak memberi
kerjasama dengan organisasi maka tidak ada gunanya. Ramai di antara kita
mempunyai pengalaman bekerja dalam organisasi yang mengalami kebankratan di
suatu tempat dan ini memberikan pengalaman yang positif dan negatif yang
berkaitan dengan bekerja dalam satu pasukan. Jika peringkat perkembangan
pasukan dipersembahkan dalam unit ini boleh membantu dengan menganalisis
bagaimana dan mengapa hasil tertentu berlaku. Analisis ini boleh membantu
dengan mengarahkan tugasan akan datang jika diperlukan supaya kita boleh mencapai atau mengulangi hasil
yang diingini.
Sebagai contoh, Bill Gates
telah mencipta budaya yang sangat kuat dalam syarikat Microsoft yang merupakan
sebahagian daripada pengurusan yang berkesan. Budaya yang dilakukan termasuklah
menghormati pemaju. Microsoft mengupah profesional komputer yang sangat bijak
dan amat menghormati mereka. Kerja berpasukan adalah bahagian yang sangat
penting dalam budaya di Microsoft. Terdapat juga berlainan unit jabatan bekerja
dalam dalam satu pasukan dan saham
diberikan kepada pekerja di Microsoft untuk menggalakan kerja berpasukan (W.Huffmire, 2006). Penyertaan dalam
kerja berpasukan adalah digalakkan dan telah menjadi sebahagian daripada budaya
di Microsoft. Target utama perkembangan syarikat Microsoft adalah mendapat
keuntungan secara meningkat setiap tahun. Walaubagaimanapun, masalah besar di
Microsoft adalah tidak semua orang yang terlibat dalam proses perancangan
strategik.
Pada asas analisis HBSC9-392-019 mengenai Microsoft, perancangan
strategik dilakukan oleh Bill Gates dan pengurusan atasan. Kecekapan sentiasa
menjadi sebahagian daripada budaya Microsoft. Microsoft adalah sangat berkesan
kerana berada di bahagian pasaran yang tinggi dan pengurusan yang cemerlang.
2.9 Proaktif (Proactive)
Sikap proaktif merupakan
antara ciri terpenting yang perlu ada dalam diri seseorang usahawan. Proaktif
merupakan sikap positif individu dalam merangka serta mengawal tindakan yang
dilakukan jauh lebih awal daripada jangkaan akan berlakunya sesuatu kejadian
atau perkara. Bagi menjadi komuniti usahawan yang berjaya, seseorang individu
sewajarnya proaktif dalam mengambil peluang yang ada pada masa kini. Terdapat
pelbagai peluang perniagaan yang tersedia di pasaran yang seharusnya digarap
oleh usahawan secara proaktif.
Saya mengambil contoh salah seorang usahawan
di Malaysia. Farah Ilyana Khairuddin,
28, merupakan pengusaha butik Calaqisya & The Calashoes yang mula bertapak
sekitar empat tahun yang lalu. Konsep perniagaan yang dibawa adalah pakaian
muslimah yang menepati syariat Islam. Butik ini merupakan hasil usahasama
antara beliau dengan dua orang lagi adiknya iaitu Farah Mislina Khairuddin, 25,
dan Farah Azrina Khairuddin, 22, yang telah bergabung tenaga bagi menubuhkan
perniagaan yang kian melonjak naik ini.
Farah Ilyana Khairuddin, mempunyai
kelulusan sarjana dalam bidang kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sungguhpun demikian, minat yang mendalam terhadap bidang fesyen telah
membuatkan beliau menceburi bidang ini. Idea bagi permulaan perniagaannya
bermula semasa menuntut di alam universiti lagi. Beliau memulakan perniagaan
dengan modal sekitar RM200 untuk membeli tudung secara borong. Beliau memulakan
perniagaan secara atas talian melalui blog dan kawan-kawan di sekitar
universiti. Keuntungan yang diperoleh dijadikan pusingan modal bagi
perniagaannya.
Sikap proaktif yang ditonjolkan oleh
ibu kepada seorang cahaya mata ini, akhirnya perniagaan yang dilakukan secara
atas talian dan kemudiannya diikuti jualan di bazar sekitar Kuala Lumpur dan
Selangor telah membawa kejayaan kepada pembukaan butik pertama di Shah Alam.
Beliau amat menitikberatkan setiap perancangan yang diatur dapat dilaksanakan
dengan jayanya. Beliau menggunakan teknik pemasaran yang terbaik seiring dengan
kemajuan teknologi moden apabila perniagaannya diiklankan melalui laman sosial
seperti Facebook, Instagram dan twitter. Kemunculan laman sosial Instagram
sekitar tahun 2013 telah banyak membantu perniagaan pakaian muslimah ini untuk
terus berkembang pesat apabila jumlah pengikut di laman ini mencecah 250,000
orang dengan jumlah pembelian jubah melebihi 100 pasang sehari.
Beliau sangat bijak dalam mengambil
peluang terhadap minat atau budaya yang semakin menjadi kegilaan ramai wanita
khususnya di Malaysia. Sebagai bukti, budaya k-pop yang semakin popular dalam
kalangan remaja masa kini telah membuatkan beliau serta kedua adiknya untuk
membuat rekaan pakaian moden mengikut fesyen di Korea. Namun, aspek pemakaian
mengikut syariat tidak dilupakan oleh mereka kerena bagi mereka setiap pakaian
yang direka akan disoal di hari pengadilan kelak. Konsep pakaian yang sedia
untuk dibawa solat serta mesra menyusu jelas menunjukkan bahawa beliau amat
menitikberatkan soal penjagaan aurat bagi kaum wanita. Kini, bukan sahaja jubah
wanita serta tudung yang dikeluarkan, malah rekaan kasut yang menarik serta
jubah untuk lelaki juga semakin mendapat tempat di hati pelanggan.
Kejayaan demi kejayaan dicipta beliau
dalam industri fesyen ini sehingga membawa kejayaan kepada pembukaan butik yang
keempat dalam masa empat tahun. Kejayaan beliau dengan usahasama adik-adiknya
turut dibantu oleh suami, Hazwan Faiz yang merupakan pengasas The Calashoes.
Sikap yang sentiasa positif terhadap saingan dalam pasaran telah membuatkan
mereka sentiasa memperbaiki setiap produk yang dikeluarkan agar sentiasa
mendapat tempat di hati pelanggan. Rekaan pakaian muslimah telah membawa kepada
revolusi baru dalam perkembangan fesyen dunia. Kini, semakin ramai usahawan
yang menceburkan diri dalam bidang ini. Namun, tanpa jika tiada jati diri yang
kuat serta sikap proaktif yang ditanam diri para usahawan, kejayaan mungkin
tidak berpihak kepada mereka.
3.0 Bahagian
B
Apabila
bercerita mengenai usahawan muda yang berjaya dalam perniagaan produk kosmetik,
nama Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman
merupakan nama yang tidak asing lagi dalam kalangan usahawan di Malaysia
khususnya. Beliau merupakan pengasas produk kecantikan D’herbs yang sinonim
dengan slogan “Terlajak laris” yang sering muncul di kaca televisyen. Beliau
dilahirkan di Felda Kechau, Kuala Lipis, Pahang pada 3 April 1987. Beliau telah
mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sg. Besar, Selangor dan
seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Telok Gadong, Klang.
Beliau juga telah mendapat pendidikan di Sekolah Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan.
Setelah itu, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Integrasi As-Syakirin, Shah
Alam sehingga tingkatan 5 dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Taylor
Collage.
Perniagaan kosmetik yang telah diusahakan sejak tahun 2010 ini semakin
mendapat tempat di hati pengguna apabila kini pelbagai jenis produk yang telah
syarikat ini keluarkan. De Herbs Healty Marketing telah mula beroperasi pada
September 2010 di mana mereka hanya beroperasi di sebuah lot kedai di tingkat 2
dengan hanya mempunyai seorang pekerja sahaja serta empat produk pengenalan.
Perniagaan beliau mula mengorak langkah yang lebih maju dengan menghasilkan hampir
30 rangkaian produk baru dengan seramai 15 orang kakitangan. Seterusnya,
perniagaan ini telah berpindah di lot kedai bawah dengan menyewa dua lot kedai
bagi melancarkan urusan perniagaan. Kemajuan perniagaan kosmetik ini semakin
hari semakin mendapat hati ramai pengguna bukan sahaja di Malaysia malah di
Singapura dan Brunei apabila beroperasinya secara rasmi Wisma D’Herbs yang
terletak di Kota Damansara.
Terdapat pelbagai ciri usahawan yang dapat diperolehi daripada kisah
kejayaan perniagaan beliau. Ciri yang pertama adalah proaktif (proactive). Sesungguhnya
kejayaan tidak datang bergolek. Sikap positif terhadap segala perancangan yang
dilakukan bagi mengembangkan empayar perniagaannya begitu mengagumkan apabila
beliau sentiasa positif terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi. Beliau yang
memulakan perniagaannya dengan menjual produk kosmetik di pasar tani setiap
minggu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat. Beliau
pernah berhadapan dengan cabaran apabila pinjaman beliau di bank telah ditolak
malah diherdik serta dimaki. Berkat kesabaran serta keyakinan beliau, beliau
meneruskan usaha mencari pendapatan sampingan dengan membuat bengkel kecantikan
di tempat kerja serta menjual produk kecantikan dan kesihatan. Pendapatan yang
berjaya diperoleh adalah sekitar RM1000 hingga RM3000 sebulan di mana wang
tersebut dikumpul bagi membuat modal bagi permulaan bagi pengeluaran produk
jenamanya tersendiri.
Selain itu, beliau merupakan seorang yang berwawasan (visonary). Syarikat mempunyai visi untuk
menjadi sebuah syarikat single level yang mengeluarkan produk kecantikan serta
kesihatan dengan konsep yang lebih terbuka, lebih mudah dan ringkas sekaligus
mempunyai sistem pengurusan, kualiti serta keberkesanan produk yang terbaik
dengan penawaran harga yang mampu dimiliki oleh semua golongan masyarakat.
Aspek keuntungan bagi kedua-dua pihak iaitu pengeluar dan peniaga turut
ditekankan sebagai suatu perkara yang penting dalam membina wawasan syarikat.
Perniagaan ini juga mempunyai mempunyai misi untuk membantu golongan lelaki dan
juga wanita yang mempunyai masalah kesihatan dalaman dan luaran untuk tampil
dengan lebih sihat dan yakin di samping membantu mereka menjana pendapatan yang
lumayan dengan menjual produk daripada D’herbs. Kini, mampu kita lihat bahawa
setiap wawasan serta misi yang dirangka dari awal perniagaan telah berjaya
beliau kecapi apabila lebih terdapat ramai pengusaha kecil yang menjadi stokis
bagi menjual produk beliau.
Di samping itu, beliau juga mempunyai ciri keusahawan yang tajam daya pemerhatian (observant).
Kejayaan syarikat D’Herbs pada hari ini telah melalui beberapa proses
pematangan hasil daripada pemerhatian beliau terhadap keperluan masyarakat
terhadap produk kecantikan dan kesihatan. Beliau memulakan perniagaan dengan menjual
produk yang dibeli secara borong di sekitar Kuala Lumpur. Namun, apabila
pemerhatian dibuat melalui kos serta keuntungan yang diperoleh, adalah lebih
baik jika beliau mengeluarkan produk yang mempunyai jenama beliau tersendiri.
Beliau menggunakan wang simpanannya sebagai modal iaitu hasil daripada jualan
produk dari pintu ke pintu dan demonstrasi tentang penggunaan produk kosmetik
kepada rakan-rakan di pejabat.
Bermodalkan
wang tersebut, beliau menjalankan pemerhatian serta kajian terhadap permasalahan
serta kekurangan yang dihadapi oleh setiap golongan masyarakat di Malaysia.
D’Herbs kemudiannya berjaya mengeluarkan gincu kolagen yang pertama di
Malaysia.
Seterusnya, Dato’ Aliff Syukri juga mempunyai ciri keusahawanan yang berani mengambil risiko (open
risk taker). Minat serta keazaman yang tinggi terhadap bidang
perniagaan telah ditonjolkan sejak beliau berusia tujuh tahun apabila beliau
mula menjual jeruk mempelam di sekolahnya. Menyedari bahawa beliau bukanlah
daripada keluarga yang senang, beliau seterusnya berjinak-jinak dengan aktiviti
perniagaan dengan menjual produk kosmetik di pasar tani mingguan. Hasil yang
diperoleh tidaklah begitu lumayan namun keuntungan yang diperoleh dijadikan
modal pusingan bagi aktiviti perniagaannya. Beliau yang sepatutnya meneruskan
pembelajaran ke A Level mengambil risiko untuk tidak meneruskan pengajian
apabila beliau ingin menyedari bahawa kos sara hidup tinggal di Kuala Lumpur
adalah tinggi. Semasa beliau bekerja, beliau turut menjana pendapatan sampingan
dengan membuat kursus make up untuk
rakan-rakan sepejabat. Beliau juga menjual produk dari pintu ke pintu dan
akhirnya hasil yang diperoleh dijadikan modal untuk menyewa kiosk kecil di
sebuah pasar raya yang terletak di Subang Jaya. Pembukaan kiosk ini merupakan titik
permulaan bagi penjenamaan produk beliau yang tersendiri apabila beliau
seterusnya menyewa lot kedai dan akhirnya kini mempunyai sebuah Wisma D’Herbs
yang gah di mata masyarakat.
Akhir sekali, beliau juga merupakan usahawan yang mengaplikasikan ciri kegagalan sebuah pilihan (failure
is an option). Dalam usaha beliau mengembangkan perniagaannya ke
peringkat yang lebih maju, beliau telah menghadapi fasa kegagalan apabila
permohonan beliau untuk membuat pinjaman bank ditolak. Permohonannya bukan
sahaja ditolak malah beliau diherdik dan dimaki oleh pihak bank atas alasan
beliau masih mentah dalam dunia perniagaannya. Namun, kekecewaan yang dialami
di atas kegagalannya telah menjadi pembakar semangat kepada beliau untuk
berusaha dengan lebih keras. Beliau meneruskan usaha mencari modal perniagaan
dengan mengumpulkan rakan-rakan terdekat serta pelanggan-pelanggan yang ditemui
semasa mengadakan bengkel kecantikan di seluruh Malaysia. Beliau menerangkan
ideanya untuk membuat satu jenama terhadap produknya kepada mereka yang hadir
dalam mesyuarat yang diadakan. Hasilnya, rata-rata yang hadir telah memberi
respon yang positif dengan keyakinan serta kewibawaan beliau dalam usaha
menghasilkan produknya dan akhirnya beliau memperoleh dana yang diperlukan
untuk dijadikan modal awal serta pelaburan.
Sehubungan dengan itu, dapat kita
lihat dengan lebih jelas mengenai kejayaan demi kejayaan yang berjaya dilakar
oleh Dato’ Aliff Syukri sebagai usahawan yang termuda di Malaysia. Ternyata
faktor umur bukanlah suatu penghalang kepada seseorang untuk mencapai sesebuah
kejayaan. Kecekalan serta keazaman beliau yang tinggi merupakan kunci kejayaan
beliau bagi mencapai setiap perancangan yang telah direncanakan sebelum
menubuhkan sebuah perniagaan yang amat membanggakan ini. Sesungguhnya yang
bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak dating melayang. Maka, berkat
usaha yang bersungguh-sungguh beliau telah menjadikan perniagaan ini semakin
dikenali bukan sahaja di Malaysia namun negara-negara sekitarnya.
4.0
PENUTUP
Sebagai
kesimpulan, usahawan adalah individu yang mempunyai ciri-ciri istimewa yang
dapat membezakan antara mereka dengan individu yang lain. Melalui pendekatan
ini, terdapat banyak ciri usahawan yang dapat diketengahkan. Setiap individu
berpeluang mengecapi kejayaan sebagai seorang usahawan kerana ciri-ciri
keusahawanan yang terdapat pada seseorang usahawan bukanlah didatangkan secara
semula jadi. Faktor-faktor seperti mempunyai daya inisiatif dan kejayaan yang
tinggi, lokus kawalan dalaman serta keyakinan yang tinggi telah menjadikan
seseorang usahawan begitu perkasa di persada dunia. Maka, tiada alasan lagi
bagi seseorang individu tidak melibatkan diri mereka dalam aktiviti perniagaan
yang sudah pasti akan mendatangkan pulangan yang lumayan sekiranya mereka
menanamkan keazaman serta minat yang tinggi terhadap bidang perniagaan.
Aktiviti perniagaan akan menjadi sukar jika ia diuruskan secara acuh tidak acuh
dan tidak mempunyai kecekalan yang tinggi. Proses pembangunan diri individu
dalam bidang keusahawanan adalah perlu bagi mereka mengenali diri mereka
melalui ujian atau kuiz potensi kecenderungan keusahawanan. Kehadiran usahawan
telah banyak membantu memperbaiki kehidupan pelbagai lapisan masyarakat melalui
produk dan perkhidmatan baru yang diperkenalkan kepada pasaran. Keusahawanan
bukan sahaja mencipta kekayaan seseorang individu malah turut sama mendorong
kepada pembahagian kekayaan.
No comments:
Post a Comment