Cute Bow Tie Hearts Blinking Blue and Pink Pointer

Wednesday, 18 November 2015

Tokoh serta ciri keusahawanan





1.0 PENGENALAN

Usahawan merupakan pemangkin dan penggerak bagi ekonomi sesebuah negara. Pada hari ini dapat kita lihat begitu ramai usahawan yang berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan. Sudah pasti setiap kejayaan yang dilakar mempunyai ramuan kejayaan yang tersendiri. Usahawan dikatakan mempunyai ciri-ciri serta latar belakang keperibadian yang unik, hebat serta mempunyai kemampuan untuk melaksanakan fungsi-fungsi keusahawanan dengan berkesan. Pengalaman serta pengetahuan yang luas membolehkan usahawan melihat, menganalisis, dan merebut peluang-peluang perniagaan yang terdapat dalam pasaran.
            Usahawan perlu mempunyai ciri-ciri yang optimistik dan dinamik terhadap peluang yang ada. Sehingga kini, terdapat pelbagai kajian yang telah dilakukan oleh ahli ekonomi dan psikologi dalam memahami serta meneliti ciri-ciri seseorang usahawan.  Antara kajian yang popular sehingga kini adalah kajian yang dilakukan oleh McClelland (1961, 1965, 1985), Brockhaus (1982), Rotter (1966) dan Bird (1989). Menurut McClelland (1985), antara ciri usahawan yang berjaya ialah inisiatif diri, kecekalan, mencari maklumat dan perancangan yang sistematik. Namun demikian, kajian yang dilaksanakan oleh Kao (1991) pula menyatakan bahawa ciri utama yang perlu ada pada seseorang usahawan antaranya ialah komitmen, keazaman dan ketabahan.      
Antara usahawan yang berjaya di Malaysia ialah seperti Datuk Yusuf Haslam, Datuk Wan Mohammad Sani Salleh dan Tan Sri Mokhzani Mahathir. Kejayaan mereka sangat membantu dalam peningkatan ekonomi negara apabila penglibatan beliau dalam perniagaan adalah daripada pelbagai bidang. Rata-rata mereka bukanlah berasal daripada keluarga yang senang, namun keazaman serta ketabahan yang tinggi telah menjadikan mereka antara tokoh usahawan yang berjaya dan dikagumi di Malaysia. Maka, dapat kita lihat di sini bahawa setiap lapisan masyarakat mampu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan ini.


2.1 Jaringan (Networked)

      

             Jaringan (networked) merupakan semua hubungan yang dibentuk atau wujud dan dikekalkan oleh seseorang usahawan dengan manusia di sekelilingnya untuk faedah bersama. Usahawan yang saya pilih bagi ciri keusahawanan ini ialah Haji Ramly bin Mokni.Pada awal 70-an, Haji Ramly hanya merupakan seorang pemotong daging di sebuah pasaraya di ibu kota. Pada ketika itu, kebanyakan makanan sejuk beku tidak dapat dikenalpasti status halal dan haramnya. Beliau telah mengambil perkara ini sebagai satu peluang, kemudiannya mendapat idea untuk menghasilkan makanan sejuk beku yang halal untuk memenuhi permintaan umat islam di negara ini. Beliau merupakan seseorang yang berpandangan jauh, bijak merebut peluang dan tidak berputus asa walaupun ideanya diperlekehkan oleh sesetengah pihak dan pihak bank turut tidak yakin dengan kemampuan dan kekuatan produk beliau. Namun begitu, sokongan daripada keluarga terutamanya isteri beliau yang sentiasa memberikan dorongan kepada beliau untuk terus berjaya menjadi pembakar semangat kepada pemilik nama Haji Ramly bin Mokni ini.
         Di sini kita dapat lihat bahawa sokongan daripada keluarga adalah penting bagi membolehkan kita melakukan sesuatu pekerjaan seterusnya membuatkan kita berasa yakin bagi menjayakan pekerjaan kita. Bagi membolehkan beliau mengorak langkah untuk memajukan perniagaannya, beliau telah menggunakan simpanan sendiri dan juga mendapat pinjaman daripada Bank Pembangunan dan Malaysia Berhad. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, Haji Ramly telah dapat mengembangkan perniagaannya daripada hanya mengeluarkan daging burger sebanyak 300 keping sehari kepada 30 tan sehari dengan berbekalkan keyakinan yang tinggi setelah 20 tahun dalam dunia perniagaan. Jaringan perniagaan juga penting bagi membolehkan kita mendapatkan bantuan kewangan seperti yang dilakukan oleh Haji Ramly bin Mokni. Hal ini membolehkan kita menjalankan serta mengembangkan perniagaan kita.
Daging burger ayam dan daging, rangkaian produk nuget, jejari, sosej dan banyak lagi merupakan antara produk yang dikeluarkan di bawah jenama Ramly. Walaupun beliau telah mengeluarkan pelbagai jenis produk, produk burger Ramly masih kekal sebagai produk terlaris dengan menyumbangkan sebanyak 50 peratus kepada perniagaannya. Makmal Mikrobiologi Ramly telah ditubuhkan bagi memastikan kualiti produknya sentiasa berada di tahap terbaik bagi memenuhi citarasa pelanggannya. Penubuhan makmal ini bertujuan untuk memastikan produknya adalah suci dan selamat dimakan oleh pelanggannya. Makmal Mikrobiologi Ramly turut berfungsi sebagai satu tempat penyelidikan dan pembangunan produk Ramly yang dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi.Haji Ramly kini telah berjaya mengembangkan perniagaannya ke tahap komersial dengan hanya mengeluarkan produknya secara manual dan kecil-kecilan pada mulanya. Syarikat induknya merupakan Ramly Mokni Holding Berhad dan Ramly Food Processing Sdn.Bhd, Pemasaran Ramly Mokni Sdn.Bhd, Ramly Supermart Sdn.Bhd dan Ramly Mokni Bakeri Sdn.Bhd merupakan anak-anak syarikatnya. Syarikat ini telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan atas kecemerlangan dan prestasi baik yang sentiasa ditunjukkan oleh mereka.
            Akhir sekali, kejayaan yang dicapai oleh Haji Ramly bin Mokni sudah pastinya mempunyai rahsia dan strategi yang menjadi pegangan ahli perniagaan terkemuka ini. Beliau tidak pernah mengambil ringan akan pandangan, rungutan dan ketidakpuasan hati para pelanggannya. Beliau akan segera bertemu dengan pelanggannya bagi mengetahui masalah yang dihadapi untuk memperbaiki mutu produknya. Haji Ramly bin Mokni juga menjalankan jaringan dengan pelanggannya bagi membolehkan kelangsungan produk yang dikeluarkan. Beliau cuba memperbaiki jaringan bersama pelanggannya bagi menghasilkan hubungan yang baik dengan pelanggannya. Beliau dapat digambarkan sebagai seorang yang tidak cepat melatah dengan hal yang remeh temeh malah dapat menyelesaikannya dengan cekap dan efisyen melalui tindakan yang diambil oleh beliau. Beliau dianugerahkan pingat kebesaran yang membawa yang membawa gelaran Dato’ pada Disember 2009 daripada Sultan Selangor pada Hari Keputeraan Baginda dan beberapa kali dinobatkan Anugerah Usahawan Terbaik melalui hasil kerja keras beliau selama 30 tahun. Melalui apa yang telah dihadapi dan dijalani oleh Haji Ramly, kita dapat mengetahui bahawa beliau telah mendapat sokongan atau jaringan daripada keluarganya, pelanggan serta pihak bank bagi kepentingan bersama.



2.2 Berani mengambil risiko (Open risk taker)

      

            Orang yang berani mengambil risiko (open risk taker) ialah orang yang berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan menerima apa jua keputusan daripada apa yang telah diambil. Tan Sri Lim Goh Tong merupakan salah seorang usahawan yang berani mengambil risiko setelah mendapat peluang.Beliau merupakan pengasas kepada Genting Group merangkap hartawan Malaysia. Beliau merupakan orang yang telah membuka pusat pelancongan terbesar di negara Malaysia. Pada asalnya beliau merupakan orang yang sangat miskin. Akan tetapi, beliau telah berusaha keras untuk mengubah taraf hidupnya. Tan Sri Lim Goh Tong pernah mendedahkan beberapa tips yang diamalkan oleh beliau sendiri sehingga berjaya menjadikan Genting Highlands Resort sebagai pusat hiburan dan percutian terkemuka dunia.
              Antara tips beliau ialah, merendah diri, bersopan santun dan menghormati orang lain. Perasaan merendah diri, bersopan santun, menghormati orang lain serta tidak bongkak dengan kemewahan dan kekayaan yang dimiliki akan menjadikan seseorang itu lebih berwaspada dengan apa yang dilakukan. Beliau menyatakan wang yang dikumpul sentiasa menjanjikan pulangan modal untuk kegunaan masa depan. Beliau juga menyatakan ramai orang yang suka mendampingi dan berkawan dengan kita jika kita suka mengamalkan sikap merendah diri. Seterusnya, beliau mula bekerja dari bawah dengan hanya menjadi tukang kayu sebelum membuka syarikat pembinaan Kien Huat dan bergelar kontraktor kelas A. pelbagai pekerjaan telah dilakukan oleh Tan Sri Lim Goh Tong sebelum menjadi jutawan. Beliau pernah dikatakan sebagai gila kerana ingin membangunkan Gunung Ulu Kali yang mana sekarang telah dikenali sebagai Genting Highlands.
            Selain itu, bekerja keras dan sedaya upaya melakukan pekerjaan. Seperti mana yang kita ketahui, kaum Cina merupakan kaum yang sangat mahir dan mengetahui serba-serbi mengenai bidang perniagaan. Orang Cina sentiasa bersikap positif dalam bidang perniagaan kerana mereka percaya bahawa melalui perniagaan, mereka dapat mengaut keuntungan yang tinggi. Kita tidak mempunyai pilihan untuk hidup senang melainkan dengan berusaha dengan keras dan bersungguh-sungguh. Usahawan Cina yang berjaya kebanyakannya bekerja selama 18 jam sehari menjadikan mereka hanya mempunyai masa yang cukup terhad bagi merehatkan diri mereka seterusnya menyebabkan mereka amat menghargai masa yang ada.
             Akhir sekali, berani menanggung risiko. Jatuh bangun seseorang itu adalah perkara biasa kerana seseorang itu tidak selalunya berada diatas. Hal ini akan membuatkan seseorang itu berani mengambil risiko. Begitu juga dengan Tan Sri Lim Goh Tong. Walaupun ramai yang mengatakan beliau sebagai gila, namun hal ini tidak mematahkan hasratnya untuk membangunkan Gunung Ulu Kali. Bahkan ada yang mengatakan idea beliau tidak akan kemana dan pelaburannya tidak menjanjikan pulangan modal disebabkan tiada yang berminat dengan perniagaan sedemikian. Akan tetapi, beliau telah membuktikan bahawa beliau mampu membangunkan gunung tersebut menjadi tempat yang terkenal dan pastinya jika beiau tidak berani mengambil risiko pastinya Genting Highlands tidak akan wujud. Menerusi tips yang beliau kongsikan, kita dapat melihat beliau sebagai seorang yang berani mengambil risiko tanpa mempedulikan kata-kata orang lain.



2.3 Tajam daya pemerhatian (Observant)

               

Daya pemerhatian merupakan salah satu ciri usahawan yang penting untuk berjaya dalam perniagaan. Individu yang mempunyai daya pemerhatian yang tajam dapat melihat peluang perniagaan yang berpotensi membawa ke arah kejayaan. Mereka yang mempunyai ciri ini dapat memerhati perubahan yang berlaku di sekeliling. Mereka dapat mengesan perubahan walaupun hanya perubahan yang kecil dan sukar dikesan oleh orang lain. Dengan daya pemerhatian yang tajam, mereka dapat berkembang dan sentiasa maju dari semasa ke semasa walaupun berlaku perubahan persekitaran di sekeliling mereka.
Howard Schultz adalah salah seorang usahawan yang berjaya di Amerika Syarikat  yang mempunyai ciri pemerhatian yang tajam dalam menjalan perniagaan. Beliau merupakan pemilik rangkaian kafe minuman kopi terkemuka di dunia iaitu Starbucks. Beliau dikatakan mempunyai ciri daya pemerhatian yang tajam apabila beliau  menciptakan konsep starbuck sebagai rumah ketiga. Sebagaimana yang kita ketahui tempat tinggal merupakan tempat pertama dan sekolah sebagai tempat kedua bagi para pelajar. Dan beliau telah mengambil inisiatif menjadikan kafe beliau sebagai tempat ketiga bagi setiap orang untuk dikunjungi. Beliau ingin menciptakan “pengalaman” unik bagi setiap pelanggan yang mengunjungi kafenya dan sebagai salah satu tempat untuk bersantai di Starbuck selain di rumah. Ia adalah salah satu konsep yang memberi impak positif kepada Starbuck supaya pelanggan terus tertarik dengan Starbucks.
Hari ini Starbucks bukan sahaja tersohor dengan kedai menjual kopi sahaja malah turut terkenal sebagai tempat pertemuan, tempat berehat dan tempat untuk menjalankan perniagaan bersesuaian dengan suasana dalaman yang disediakan selesa dan santai. Pada pandangan kasar, terdapat beberapa faktor yang menjadikan kafe ini sebagai tumpuan masyarakat. Pertama, ialah Starbucks menawarkan produk yang disukai pengunjung. Iaitu kopi yang yang dihidangkan dengan chocolate, kekacang dan krim dgn pencuci mulut yang disediakan bersama kopi telah berjaya memenuhi citarasa pelanggan. Kedua, Starbucks mengamalkan konsistensi dalam penghasilan kopi mereka. Hal ini dapat dilihat oleh pelanggan tetap ketika mereka berada luar negara dan mengunjungi cawangan Starbucks di sana. Hasilnya kualiti kopi yang disediakan tetap sama.  
Akhir sekali, ini merupakan faktor terpenting dalam menjadikan Starbucks lebih berjaya berbanding pesaing-pesaing yang lain. Iaitu Howard Schultz telah menggunakan konsep “rumah ketiga”. Di mana selain menyediakan kopi kafe ini turut menjadikan Starbucks sebagai satu tempat  yang mana para pengunjung boleh membeli CD dan  merakam lagu-lagu kegemaran. Di samping itu, turut manawarkan perkhidmatan WIFI kepada pengunjung. Hal ini secara tidak langsung telah berjaya menarik minat generasi Y untuk  duduk lebih lama di kafe Starbucks dan seterusnya dapat meningkatkan hasil jualan kopi.



2.4 Berwawasan (Visionary)

          

 Definisi berwawasan ialah seorang usahawan perlulah mempunyai wawasan yang jauh dan mewujudkan matlamat yang jelas dan boleh diukur pencapaiannya. Beliau harus peka kepada kemampuan sendiri dan mengenalpasti halangan dalaman dan luaran supaya halangan-halangan tersebut dapat diatasi. Antara usahawan yang memiliki ciri berwawasan ialah Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew atau lebih dikenali sebagai Boon Liew.
Sifat ini dapat dilihat pada diri beliau apabila bermula tahun 1958 beliau pergi melawat Jepun untuk makan angin. Bermula dari situlah beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan beliau berfikir mungkin mendapat pasaran yang baik jika dibawa balik ke Malaysia. Setelah mengenal pasti siapakah pengeluarnya beliau mula membuat perjanjian untuk memesan 12 unit motosikal terlebih dahulu. Motosikal ini mula dijual kepada rakan-rakannya tanpa mengambil sebarang keuntungan bagi pihaknya. Pada awalnya motosikal Honda yang ditungganinya ditertawakan oleh orang sekeliling yang menyangka ia tidak berguna dan cepat rosak namun semua itu tidak mudah mematahkan semangatnya untuk terus memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963 Motosikal Honda kian mendapat tempat di hati masyarakat sekeliling.
              Sebagai usahawan yang berjaya Boon Siew dilihat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk syarikat yang beliau tubuhkan apabila beliau mula membawa masuk motosikal Honda ke Malaysia. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motosikal yang pertama di Malaysia iaitu Boon Siew Assembly Plant milik Boon Siew Sdn Bhd di kawasan perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang. Dengan terbinanya kilang ini pada tahun 1969, motosikal Honda tidak lagi dipasang di Jepun tetapi ia dipasang di Malaysia seterusnya secara tidak langsung dapat menjimatkan kos pemasangan dan jualan.
 Dengan terbinanya kilang ini, Boon Siew Sdn Bhd juga telah memperkenalkan beberapa model terbaru motosikal Honda bermula pada tahun 1971 iaitu model Honda S907. Pada hari ini terdapat pelbagai jenis motosikal Honda yang berada di pasaran. Dengan sikap berwawasan tinggi inilah yang telah memacu beliau untuk terus maju dalam bidang permotoran. Tidak semua usahawan mempunyai kemampuan untuk melihat ke hadapan seperti beliau. Sikap inilah yang menjadi senjata utama di dalam usaha beliau untuk terus bergerak mahu di dalam industri permotoran Malaysia. Maka kita dapat simpulkan bahawa, Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew merupakan salah seorang usahawan yang mempunyai ciri berwawasan. Jadi wajarlah kepada masyarakat yang ingin menjadi usahawan berjaya mencontohi ciri tersebut.



2.5 Kegagalan sebuah pilihan (Failure is an option)


                 


Menurut Alex S.Nitisemito dalam bukunya Seri Perusahaan Kecil (hal 29-30), sebab-sebab kegagalan dalam sesebuah perniagaan ini ialah kurang peka dan cepat putus asa, kurang inisiatif dan kurang kreatif, banyak hutang piutang, kekeliruan menghitung harga asal, dan sering berlaku kemelesetan kewangan.

Kegagalan adalah satu cubaan dalam mengharungi kehidupan terutama untuk mencapai kejayaan. Kejayaan yang berkualiti adalah bermula daripada kegagalan. Oleh yang demikian, setiap usahawan yang ingin berjaya perlu belajar daripada kesilapan dan kegagalan.

Seorang usahawan terkenal iaitu Harsukhlal Maganlal Kamdar. Beliau adalah Pengasas dan Pengarah Urusan Pasaraya Kamdar. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Gujarati. Beliau adalah seorang remaja yang sangat bercita-cita tinggi, bersemangat dan mengambil kegagalan adalah satu pilihan dalam menjalankan perniagaan. Daripada usaha beliau kita dapat melihat apabila beliau sanggup mengayuh basikalnya sehingga 20 batu ke 30 batu di kawasan Pulau Pinang untuk mengkaji bidang perniagaan yang dianggap mempunyai potensi yang jelas untuk dibangunkan. Ia menunjukkan tiada jalan pintas dalam hidup tetapi perlu berkorban apatah lagi mahu terlibat dalam dunia perniagaan.
Harsukhlal Maganlal Kamdar merupakan seorang yang mempunyai pandangan yang jauh. Hal ini dapat dilihat pada dirinya yang menganggap bidang perniagaan berpotensi untuk berkembang di Pulau Pinang pada satu masa nanti setelah beliau meninjau Pulau Pinang. Buktinya, akhirnya beliau berjaya buka Kamdar di Pulau Pinang setelah mengharungi pelbagai rintangan. Selepas itu, beliau meluaskan lagi perniagaannya dengan membuka gedung Kamdar di Kuala Lumpur. Kedai itu dibuka pada tahun 1973 di No. 431-433, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun, empat tahun selepas dibuka, iaitu pada tahun 1977, kedai itu ditutup dan lot rumah kedai yang kosong itu disewakan kepada orang lain. Harsukhlal kemudiannya membuat keputusan pergi sendiri ke Kuala Lumpur pada tahun 1977 dan cuba memperbaiki keadaan. Pada tahun 1980, dengan sikapnya yang mempunyai pandangan jauh bahawa kamdar akan berjaya di Kuala Lumpur, akhirnya beliau berjaya membuka kedai di Jalan Chow Kit, iaitu pasar raya 6 tingkat di sebelah pasar raya Batu Road. Kemudian, sebuah lagi dibuka di sebelah Globe Silk Store.
Perniagaan Kamdar terus berkembang pesat dan beliau terus membuka cawangan kedai di bandar-bandar utama di seluruh Semenanjung Malaysia. Dengan enam buah kedai di Kuala Lumpur, yang mana empat adalah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kamdar kini mempunyai 18 buah kedai dengan 1,000 orang pekerja. Harsukhlal juga bercadang mengembangkan lagi perniagaannya hingga ke Sabah dan Sarawak. Walaupun melalui banyak kemelesetan ekonomi, Kamdar masih kekal sebagai pasar raya tempatan yang berdaya saing. Pada hari ini, pasar raya Kamdar menawarkan pelbagai jenis tekstil dan fabrik pada harga yang berpatutan. Kamdar memperoleh kainnya daripada sumber tempatan dan juga melalui pejabat operasinya di luar negara seperti di India, Indonesia, Korea dan Emiriyah Arab Bersatu.
Kesimpulannya, sebagai seorang usahawan kita haruslah mempunyai pandangan yang jauh terhadap perniagaan kita dan jangan pernah berputus asa dalam memajukan perniagaan. Kegagalan yang pernah dialami haruslah dibuat sebagai pengajaran dan belajar dari kegagalan tersebut. Ciri inilah yang membuatkan Harsukhlal Maganlal Kamdar berjaya dalam perniagaannya dan membuatkan nama Kamdar popular sehingga sekarang.


 2.6 Kebudayaan terbuka (Open culture)

       

Menurut Kamus Dewan (2005), budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi atau cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya, budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.

            Sudut ekonomi di Malaysia boleh dilihat berdasarkan aktiviti yang dijalankan masyarakat Melayu di negara ini. Penguasaan ekonomi dalam kalangan orang melayu keseluruhannya masih rendah dibandingkan dengan penguasaan ekonomi oleh penduduk bukan melayu terutamanya orang cina. Tetapi kini telah ramai orang telah berjaya dalam bidang perniagaan dan menjadi ahli korporat.

            Seorang usahawan iaitu Dato’ Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ialah pengasas Kumpulan Rahman Brothers Sdn. Bhd. yang mengusahakan pelbagai perniagaan iaitu automotif, pelancongan dan hospitaliti, hartanah dan pembangunan perniagaan, dan perdagangan antarabangsa dan logistik. Setelah melalui pelbagai rintangan, beliau meneruskan kejayaannya. Beliau seorang usahawan yang mempunyai sikap budaya terbuka kerana beliau melakukan banyak perniagaan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan.

            Dato’ Haji Abdul Rahman memulakan dengan perniagaan automotif dan seterusnya ke perniagaan lain. Dalam perniagaan antarabangsa dan logistik, Kumpulan rahman Brothers Sdn. Bhd. mencipta produk berasaskan makanan jenama De’Rahman. Produk tersebut kurang dapat sambutan di Malaysia. Namun, produk tersebut telah menembusi pasaran antarabangsa. Rangkaian produk tersebut membabitkan sos cili, sos tiram, dan sardin tin yang dihasilkan telah menembusi pasaran Arab Saudi dan China. Penerokaan produk De’Rahman ke luar negara itu adalah hasil usaha sama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA).




Produk tersebut mendapat sambutan hangat kerana di negara luar seperti China, sukar untuk mendapatkan makanan halal. Di negara China semakin ramai masyarakat beragama Islam dan permintaan terhadap makanan halal semakin meningkat. Oleh yang demikian, usaha Dato’ Haji Abdul Rahman telah memberi sumbangan kepada negara tersebut kerana memudahkan mereka untuk mencari makanan halal. Selepas mendapati produk De’Rahman memberangsangkan di luar negara, kini produk tersebut dipasarkan di dalam negara. Syarikat sasar melantik 500 hingga 700 stokis di seluruh negara.

            Konklusinya, Dato’ haji Abdul Rahman mempunyai sifat budaya terbuka dengan pandangannya yang sangat luas tentang semua produk perniagaan syarikat beliau. Beliau memenuhi beberapa kehendak masyarakat di luar atau di dalam negara. Hal ini menunjukkan beliau seorang usahawan yang berjaya.



2.7 Orientasi hasil (Outcome oriented)

          

              Berorientasikan hasil bermaksud usahawan hanya memberi fokus kepada sesuatu proses untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh organisasinya. Usahawan yang mempunyai ciri seperti berorientasikan hasil adalah Liliane Bettencourt. Beliau lahir pada 21 Oktober 1922 di Paris, Perancis. Beliau adalah anak pengasas dan pengerusi kepada produk kosmetik dan kecantikan terkenal L’Oreal.
             
          Pada usia 15 tahun beliau mula bergabung dengan perusahaan ayahnya sebagai karyawan magang. Sejak kematian bapanya beliau menjadi calon paling layak bagi menerajui empayar perniagaan kecantikan bapanya bernilai puluhan billion. Liliane mewarisi empayar perniagaan jenama kecantikan L’Oreal daripada bapanya hampir 78 tahun lalu. Beliau telah memegang satu visi iaitu kecantikan adalah bahasa, kecantikan adalah sesuatu yang universal, kecantikan adalah alam, kecantikan adalah komitmen dan L’Oreal telah membuat projek kecantikan untuk tahun-tahun akan datang. Kecantikan adalah bahasa bermaksud setiap individu boleh mengekspirasikan kepribadian mereka dengan terbuka dan percaya diri. Kecantikan adalah universal bermaksud L’Oreal menawarkan produk kecantikan terbaik, baik dari segi mutu, khasiat dan keamanan untuk wanita di seluruh dunia. Kecantikan adalah alam, dalam ha lini L’Oreal mengeksplorasi dan menciptakan produk baru di masa depan. Lalu, kecantikan adalah komitmen, iaitu dimana L’oreal menciptakan kekuatan inovatif untuk melestarikan keindahan yang mendukung masyarakat.
           
         Selain itu, bagi mencapai visi tersebut, perusahaan L’Oreal memiliki fondasi dalam strategi perniagaan iaitu melihat pertumbuhan pasaran sebagai sebuah potensi yang besar. Seperti yang dikemukakan dalam laporan tahunan perusahaan L’Oreal bahawa pasaran kosmetik dunia bernilai sekitar 180 juta euro dan selama lima belas tahun terakhir, pertumbuhan rata-rata  pasaran kosmetik dunia diperkira sekitar 4.3%. Oleh sebab itu, dalam hal ini L’Oreal dapat melihat bahawa pasaran telah mengalami pertumbuhan yang kuat, teratur dan juga teguh. Walaupun pada saat puncak krisis berlaku pada tahun 2008-2009 pasaran kosmetik tetap terus maju. Hal ini kerana oleh kebutuhan pasaran akan produk kecantikan sehingga L’Oreal melihat bahawa pasaran kecantikan memiliki masa depan yang cerah.
          
Seterusnya, melakukan pembangunan secara internasional di mana L’oreal saat ini memang telah hadir di 130 negara, namun tidak berhenti sampai di situ, sesuai dengan visinya, L’Oreal ingin menarik 1 juta pengguna pada 10 sampai 15 tahun akan datang. Kenyataannya hingga saat ini, selama 100 tahun sejak didirikan, L’Oreal telah berhasil menarik hampir satu juta pengguna yang berarti mewakili sekitar 15% penduduk dunia.
           
         Di samping itu, kejayaan dan aspirasi L’Oreal adalah mengisi keperluan penggunanya. Sehubungan dengan itu, mempromosikan produk mereka dengan lebih berpengaruh dengan menggunakan model dan selebriti ternama salah satu cara untuk menarik perhatian pengguna untuk menggunakan produknya. Namun mereka tetap membawa mesej tepat bahawa produk mereka dan kecantikan adalah sesuatu yang menyeronokan serta menepati cita rasa pengguna. Tidak dapat dinafikan lagi kejayaan peniagaan bergantung kepada asas iaitu strategi dan pengurusan yang bijak,kerjasama yang erat antara pemilik dengan pihak pengurusan dan juga  para pekerja di samping menumpukan sebaik mungkin kepada keperluan pengguna supaya kita dapat mencapai matlamat yang diinginkan.


2.8 Orientasi Pasukan (Team oriented)

                     

            Team ialah sekumpulan orang dianjurkan untuk bekerjasama. Sementara itu, berorientasi ditakrifkan seperti diarahkan dari segi intelek, emosi atau fungsi. Menurut (Wikipedia, 2015) pasukan  yang berorientasi  ditakrifkan  sebagai melibatkan  peranan  setiap  Individu dalam mencapai matlamat dan penggunaan kemahiran sosial. Aktiviti-akitiviti ini sering melibatkan tugasan   yang individu perlu menyelesaikan secara kolaboratif. Banyak latihan pembinaan pasukan dibuat bertujuan untuk memperlihatkan dan menangani masalah interpersonal yang memberi kesan kepada fungsi pasukan.
            Jika syarikat dan orientasi pasukan (team oriented) bersama maka kerjasama di kalangan pekerja tercapai. Dalam erti kata lain, cara permainan berpasukan menetukan kejayaan. Jika kita mempunyai sekumpulan pekerja yang hebat tetapi jika mereka tidak memberi kerjasama dengan organisasi maka tidak ada gunanya. Ramai di antara kita mempunyai pengalaman bekerja dalam organisasi yang mengalami kebankratan di suatu tempat dan ini memberikan pengalaman yang positif dan negatif yang berkaitan dengan bekerja dalam satu pasukan. Jika peringkat perkembangan pasukan dipersembahkan dalam unit ini boleh membantu dengan menganalisis bagaimana dan mengapa hasil tertentu berlaku. Analisis ini boleh membantu dengan mengarahkan tugasan akan datang jika diperlukan supaya  kita boleh mencapai atau mengulangi hasil yang diingini.
Sebagai contoh, Bill Gates telah mencipta budaya yang sangat kuat dalam syarikat Microsoft yang merupakan sebahagian daripada pengurusan yang berkesan. Budaya yang dilakukan termasuklah menghormati pemaju. Microsoft mengupah profesional komputer yang sangat bijak dan amat menghormati mereka. Kerja berpasukan adalah bahagian yang sangat penting dalam budaya di Microsoft. Terdapat juga berlainan unit jabatan bekerja dalam dalam satu pasukan dan saham  diberikan kepada pekerja di Microsoft untuk menggalakan kerja berpasukan (W.Huffmire, 2006). Penyertaan dalam kerja berpasukan adalah digalakkan dan telah menjadi sebahagian daripada budaya di Microsoft. Target utama perkembangan syarikat Microsoft adalah mendapat keuntungan secara meningkat setiap tahun. Walaubagaimanapun, masalah besar di Microsoft adalah tidak semua orang yang terlibat dalam proses perancangan strategik.
Pada asas analisis HBSC9-392-019 mengenai Microsoft, perancangan strategik dilakukan oleh Bill Gates dan pengurusan atasan. Kecekapan sentiasa menjadi sebahagian daripada budaya Microsoft. Microsoft adalah sangat berkesan kerana berada di bahagian pasaran yang tinggi dan pengurusan yang cemerlang.
      

2.9 Proaktif (Proactive)
                             
                                    

                        
Sikap proaktif merupakan antara ciri terpenting yang perlu ada dalam diri seseorang usahawan. Proaktif merupakan sikap positif individu dalam merangka serta mengawal tindakan yang dilakukan jauh lebih awal daripada jangkaan akan berlakunya sesuatu kejadian atau perkara. Bagi menjadi komuniti usahawan yang berjaya, seseorang individu sewajarnya proaktif dalam mengambil peluang yang ada pada masa kini. Terdapat pelbagai peluang perniagaan yang tersedia di pasaran yang seharusnya digarap oleh usahawan secara proaktif.
        Saya mengambil contoh salah seorang usahawan di Malaysia. Farah Ilyana Khairuddin, 28, merupakan pengusaha butik Calaqisya & The Calashoes yang mula bertapak sekitar empat tahun yang lalu. Konsep perniagaan yang dibawa adalah pakaian muslimah yang menepati syariat Islam. Butik ini merupakan hasil usahasama antara beliau dengan dua orang lagi adiknya iaitu Farah Mislina Khairuddin, 25, dan Farah Azrina Khairuddin, 22, yang telah bergabung tenaga bagi menubuhkan perniagaan yang kian melonjak naik ini.
         Farah Ilyana Khairuddin, mempunyai kelulusan sarjana dalam bidang kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sungguhpun demikian, minat yang mendalam terhadap bidang fesyen telah membuatkan beliau menceburi bidang ini. Idea bagi permulaan perniagaannya bermula semasa menuntut di alam universiti lagi. Beliau memulakan perniagaan dengan modal sekitar RM200 untuk membeli tudung secara borong. Beliau memulakan perniagaan secara atas talian melalui blog dan kawan-kawan di sekitar universiti. Keuntungan yang diperoleh dijadikan pusingan modal bagi perniagaannya.
          Sikap proaktif yang ditonjolkan oleh ibu kepada seorang cahaya mata ini, akhirnya perniagaan yang dilakukan secara atas talian dan kemudiannya diikuti jualan di bazar sekitar Kuala Lumpur dan Selangor telah membawa kejayaan kepada pembukaan butik pertama di Shah Alam. Beliau amat menitikberatkan setiap perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan jayanya. Beliau menggunakan teknik pemasaran yang terbaik seiring dengan kemajuan teknologi moden apabila perniagaannya diiklankan melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram dan twitter. Kemunculan laman sosial Instagram sekitar tahun 2013 telah banyak membantu perniagaan pakaian muslimah ini untuk terus berkembang pesat apabila jumlah pengikut di laman ini mencecah 250,000 orang dengan jumlah pembelian jubah melebihi 100 pasang sehari.
          Beliau sangat bijak dalam mengambil peluang terhadap minat atau budaya yang semakin menjadi kegilaan ramai wanita khususnya di Malaysia. Sebagai bukti, budaya k-pop yang semakin popular dalam kalangan remaja masa kini telah membuatkan beliau serta kedua adiknya untuk membuat rekaan pakaian moden mengikut fesyen di Korea. Namun, aspek pemakaian mengikut syariat tidak dilupakan oleh mereka kerena bagi mereka setiap pakaian yang direka akan disoal di hari pengadilan kelak. Konsep pakaian yang sedia untuk dibawa solat serta mesra menyusu jelas menunjukkan bahawa beliau amat menitikberatkan soal penjagaan aurat bagi kaum wanita. Kini, bukan sahaja jubah wanita serta tudung yang dikeluarkan, malah rekaan kasut yang menarik serta jubah untuk lelaki juga semakin mendapat tempat di hati pelanggan.
          Kejayaan demi kejayaan dicipta beliau dalam industri fesyen ini sehingga membawa kejayaan kepada pembukaan butik yang keempat dalam masa empat tahun. Kejayaan beliau dengan usahasama adik-adiknya turut dibantu oleh suami, Hazwan Faiz yang merupakan pengasas The Calashoes. Sikap yang sentiasa positif terhadap saingan dalam pasaran telah membuatkan mereka sentiasa memperbaiki setiap produk yang dikeluarkan agar sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan. Rekaan pakaian muslimah telah membawa kepada revolusi baru dalam perkembangan fesyen dunia. Kini, semakin ramai usahawan yang menceburkan diri dalam bidang ini. Namun, tanpa jika tiada jati diri yang kuat serta sikap proaktif yang ditanam diri para usahawan, kejayaan mungkin tidak berpihak kepada mereka.


3.0 Bahagian B



          Apabila bercerita mengenai usahawan muda yang berjaya dalam perniagaan produk kosmetik, nama Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman merupakan nama yang tidak asing lagi dalam kalangan usahawan di Malaysia khususnya. Beliau merupakan pengasas produk kecantikan D’herbs yang sinonim dengan slogan “Terlajak laris” yang sering muncul di kaca televisyen. Beliau dilahirkan di Felda Kechau, Kuala Lipis, Pahang pada 3 April 1987. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sg. Besar, Selangor dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Telok Gadong, Klang. Beliau juga telah mendapat pendidikan di Sekolah Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan. Setelah itu, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Integrasi As-Syakirin, Shah Alam sehingga tingkatan 5 dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Taylor Collage.
Perniagaan kosmetik yang telah diusahakan sejak tahun 2010 ini semakin mendapat tempat di hati pengguna apabila kini pelbagai jenis produk yang telah syarikat ini keluarkan. De Herbs Healty Marketing telah mula beroperasi pada September 2010 di mana mereka hanya beroperasi di sebuah lot kedai di tingkat 2 dengan hanya mempunyai seorang pekerja sahaja serta empat produk pengenalan. Perniagaan beliau mula mengorak langkah yang lebih maju dengan menghasilkan hampir 30 rangkaian produk baru dengan seramai 15 orang kakitangan. Seterusnya, perniagaan ini telah berpindah di lot kedai bawah dengan menyewa dua lot kedai bagi melancarkan urusan perniagaan. Kemajuan perniagaan kosmetik ini semakin hari semakin mendapat hati ramai pengguna bukan sahaja di Malaysia malah di Singapura dan Brunei apabila beroperasinya secara rasmi Wisma D’Herbs yang terletak di Kota Damansara.
Terdapat pelbagai ciri usahawan yang dapat diperolehi daripada kisah kejayaan perniagaan beliau. Ciri yang pertama adalah proaktif (proactive). Sesungguhnya kejayaan tidak datang bergolek. Sikap positif terhadap segala perancangan yang dilakukan bagi mengembangkan empayar perniagaannya begitu mengagumkan apabila beliau sentiasa positif terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi. Beliau yang memulakan perniagaannya dengan menjual produk kosmetik di pasar tani setiap minggu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat. Beliau pernah berhadapan dengan cabaran apabila pinjaman beliau di bank telah ditolak malah diherdik serta dimaki. Berkat kesabaran serta keyakinan beliau, beliau meneruskan usaha mencari pendapatan sampingan dengan membuat bengkel kecantikan di tempat kerja serta menjual produk kecantikan dan kesihatan. Pendapatan yang berjaya diperoleh adalah sekitar RM1000 hingga RM3000 sebulan di mana wang tersebut dikumpul bagi membuat modal bagi permulaan bagi pengeluaran produk jenamanya tersendiri.
Selain itu, beliau merupakan seorang yang berwawasan (visonary). Syarikat mempunyai visi untuk menjadi sebuah syarikat single level yang mengeluarkan produk kecantikan serta kesihatan dengan konsep yang lebih terbuka, lebih mudah dan ringkas sekaligus mempunyai sistem pengurusan, kualiti serta keberkesanan produk yang terbaik dengan penawaran harga yang mampu dimiliki oleh semua golongan masyarakat. Aspek keuntungan bagi kedua-dua pihak iaitu pengeluar dan peniaga turut ditekankan sebagai suatu perkara yang penting dalam membina wawasan syarikat. Perniagaan ini juga mempunyai mempunyai misi untuk membantu golongan lelaki dan juga wanita yang mempunyai masalah kesihatan dalaman dan luaran untuk tampil dengan lebih sihat dan yakin di samping membantu mereka menjana pendapatan yang lumayan dengan menjual produk daripada D’herbs. Kini, mampu kita lihat bahawa setiap wawasan serta misi yang dirangka dari awal perniagaan telah berjaya beliau kecapi apabila lebih terdapat ramai pengusaha kecil yang menjadi stokis bagi menjual produk beliau.
Di samping itu, beliau juga mempunyai ciri keusahawan yang tajam daya pemerhatian (observant). Kejayaan syarikat D’Herbs pada hari ini telah melalui beberapa proses pematangan hasil daripada pemerhatian beliau terhadap keperluan masyarakat terhadap produk kecantikan dan kesihatan. Beliau memulakan perniagaan dengan menjual produk yang dibeli secara borong di sekitar Kuala Lumpur. Namun, apabila pemerhatian dibuat melalui kos serta keuntungan yang diperoleh, adalah lebih baik jika beliau mengeluarkan produk yang mempunyai jenama beliau tersendiri. Beliau menggunakan wang simpanannya sebagai modal iaitu hasil daripada jualan produk dari pintu ke pintu dan demonstrasi tentang penggunaan produk kosmetik kepada rakan-rakan di pejabat.
Bermodalkan wang tersebut, beliau menjalankan pemerhatian serta kajian terhadap permasalahan serta kekurangan yang dihadapi oleh setiap golongan masyarakat di Malaysia. D’Herbs kemudiannya berjaya mengeluarkan gincu kolagen yang pertama di Malaysia.
Seterusnya, Dato’ Aliff Syukri juga mempunyai ciri keusahawanan yang berani mengambil risiko (open risk taker). Minat serta keazaman yang tinggi terhadap bidang perniagaan telah ditonjolkan sejak beliau berusia tujuh tahun apabila beliau mula menjual jeruk mempelam di sekolahnya. Menyedari bahawa beliau bukanlah daripada keluarga yang senang, beliau seterusnya berjinak-jinak dengan aktiviti perniagaan dengan menjual produk kosmetik di pasar tani mingguan. Hasil yang diperoleh tidaklah begitu lumayan namun keuntungan yang diperoleh dijadikan modal pusingan bagi aktiviti perniagaannya. Beliau yang sepatutnya meneruskan pembelajaran ke A Level mengambil risiko untuk tidak meneruskan pengajian apabila beliau ingin menyedari bahawa kos sara hidup tinggal di Kuala Lumpur adalah tinggi. Semasa beliau bekerja, beliau turut menjana pendapatan sampingan dengan membuat kursus make up untuk rakan-rakan sepejabat. Beliau juga menjual produk dari pintu ke pintu dan akhirnya hasil yang diperoleh dijadikan modal untuk menyewa kiosk kecil di sebuah pasar raya yang terletak di Subang Jaya. Pembukaan kiosk ini merupakan titik permulaan bagi penjenamaan produk beliau yang tersendiri apabila beliau seterusnya menyewa lot kedai dan akhirnya kini mempunyai sebuah Wisma D’Herbs yang gah di mata masyarakat.
Akhir sekali, beliau juga merupakan usahawan yang mengaplikasikan ciri kegagalan sebuah pilihan (failure is an option). Dalam usaha beliau mengembangkan perniagaannya ke peringkat yang lebih maju, beliau telah menghadapi fasa kegagalan apabila permohonan beliau untuk membuat pinjaman bank ditolak. Permohonannya bukan sahaja ditolak malah beliau diherdik dan dimaki oleh pihak bank atas alasan beliau masih mentah dalam dunia perniagaannya. Namun, kekecewaan yang dialami di atas kegagalannya telah menjadi pembakar semangat kepada beliau untuk berusaha dengan lebih keras. Beliau meneruskan usaha mencari modal perniagaan dengan mengumpulkan rakan-rakan terdekat serta pelanggan-pelanggan yang ditemui semasa mengadakan bengkel kecantikan di seluruh Malaysia. Beliau menerangkan ideanya untuk membuat satu jenama terhadap produknya kepada mereka yang hadir dalam mesyuarat yang diadakan. Hasilnya, rata-rata yang hadir telah memberi respon yang positif dengan keyakinan serta kewibawaan beliau dalam usaha menghasilkan produknya dan akhirnya beliau memperoleh dana yang diperlukan untuk dijadikan modal awal serta pelaburan.
            Sehubungan dengan itu, dapat kita lihat dengan lebih jelas mengenai kejayaan demi kejayaan yang berjaya dilakar oleh Dato’ Aliff Syukri sebagai usahawan yang termuda di Malaysia. Ternyata faktor umur bukanlah suatu penghalang kepada seseorang untuk mencapai sesebuah kejayaan. Kecekalan serta keazaman beliau yang tinggi merupakan kunci kejayaan beliau bagi mencapai setiap perancangan yang telah direncanakan sebelum menubuhkan sebuah perniagaan yang amat membanggakan ini. Sesungguhnya yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak dating melayang. Maka, berkat usaha yang bersungguh-sungguh beliau telah menjadikan perniagaan ini semakin dikenali bukan sahaja di Malaysia namun negara-negara sekitarnya.

   
4.0 PENUTUP

Sebagai kesimpulan, usahawan adalah individu yang mempunyai ciri-ciri istimewa yang dapat membezakan antara mereka dengan individu yang lain. Melalui pendekatan ini, terdapat banyak ciri usahawan yang dapat diketengahkan. Setiap individu berpeluang mengecapi kejayaan sebagai seorang usahawan kerana ciri-ciri keusahawanan yang terdapat pada seseorang usahawan bukanlah didatangkan secara semula jadi. Faktor-faktor seperti mempunyai daya inisiatif dan kejayaan yang tinggi, lokus kawalan dalaman serta keyakinan yang tinggi telah menjadikan seseorang usahawan begitu perkasa di persada dunia. Maka, tiada alasan lagi bagi seseorang individu tidak melibatkan diri mereka dalam aktiviti perniagaan yang sudah pasti akan mendatangkan pulangan yang lumayan sekiranya mereka menanamkan keazaman serta minat yang tinggi terhadap bidang perniagaan. Aktiviti perniagaan akan menjadi sukar jika ia diuruskan secara acuh tidak acuh dan tidak mempunyai kecekalan yang tinggi. Proses pembangunan diri individu dalam bidang keusahawanan adalah perlu bagi mereka mengenali diri mereka melalui ujian atau kuiz potensi kecenderungan keusahawanan. Kehadiran usahawan telah banyak membantu memperbaiki kehidupan pelbagai lapisan masyarakat melalui produk dan perkhidmatan baru yang diperkenalkan kepada pasaran. Keusahawanan bukan sahaja mencipta kekayaan seseorang individu malah turut sama mendorong kepada pembahagian kekayaan.